Antara Anwar dan Shabery.

16 07 2008

www.khalidalwalid.wordpress.com

khalidalwalidmk@gmail.com

Salam Rahmah dan Kasih Sayang Allah buat semua.

Alhamdulillah.  Sebuah anjakan yang amat positif untuk politik Malaysia ke arah Malaysia Baru. Ke arah Malaysia yang lebih demokrasi dan terbuka. Hari ini mencatatkan sejarah baru buat dunia politik Malaysia apabila dua tokoh politik yang berlatarbelakangkan dua ideologi politik yang berbeza dapat berdebat di atas satu pentas yang sama untuk membahaskan isu yang menghantui rakyat terbanyak iaitu isu kenaikan harga minyak di Malaysia.

Di atas kapasiti sebagai seorang anak muda Malaysia yang inginkan masa hadapan yang lebih terjamin, sekalung tahniah saya ucapakan buat Agenda Daily kerana berjaya menganjurkan debat yang amat bersejarah ini. Buat Datuk Johan Jaafar syabas saya ucapkan kerana anda berjaya bertindak sebagai seorang moderator yang saksama.

Buat Datuk Ahmad Shabery Cheek (DASC), anda telah membuktikan bahawa anda adalah seorang pemimpin muda yang berani. (berbanding pemimpin-pemimpin UMNO yang selama ini hanya lantang bersuara dari belakang)

Buat Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI), tahniah kerana anda telah membuka mata rakyat terbanyak bahawa kita boleh menguruskan negara dengan lebih baik jika korupsi dan ketirisan dapat di bendung.

Tidak lupa ucapan tahniah kepada Dewan Bahasa dan Pustaka kerana sudi menyediakan ruang untuk perdebatan yang tajuknya “Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak.”. Juga TV9, TV3, Astro Awani dan BERNAMA TV kerana bersetuju menyiarkan debat ini secara lansung mahupun secara siaran tertunda. Saya yakin rencang debat ini telah mendapat rating penonton tertinggi.

Mengulas debat ini, secara professional, keberanian DASC sememangnya wajar di puji kerana berani berdepan dengan seorang pemidato yang disegani kawan dan lawan. Walaubagaimanapun, saya amat terkilan di atas tindakan DASC untuk membuat serangan peribadi keatas DSAI. Jelas konsep perdebatan yang dipersetujui tidak dirialisasikan. Apa kaitan antara maudu’ debat kali ini dengan golombang mahasiswa 1974? Isi debat DASC hanya kekadar berteraskan sejarah yang sudah lapok dan basi. Malah, DASC tidak menjawab persoalan yang di utarakan dengan baik. Sering kali terkeluar dari topik perbincangan. Tidak berteraskan kepada fakta atau angka, tetapi lebih bersifat untuk memalukan DSAI.

Solusi penurunan harga minyak yang di kemukakan oleh DSAI pula boleh saya sifatkan rialistik dan praktikal. DSAI jelas menunjulkan fakta dan angka untuk membahaskan kewujudan peluang bagi kerajaan Malaysia untuk tidak mengikut arus kenaikan minyak global. DSAI kelihatan tenang walaupun beliau di serang secara peribadi.

Mekanisme yang beliau tawarkan ternyata bukanlah satu perkara yang mustahil (dipetik dari www.anwaribrahimblog.com berdasarkan hujahan DSAI semasa debat):

1. Untuk menurunkan harga petrol sebanyak 50 sen kita hanya memerlukan tambahan RM5 bilion sahaja keatas subsidi yang telahpun diperuntukkan oleh kerajaan bagi tahun ini.

2. Kita mempunyai maklumat bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai “excess capacity” yang melebihi 1000 MW. Ini adalah bekalan simpanan yang tidak digunakan. Ia boleh kita turunkan dan akan menjimatkan kos kepada TNB dan juga mengurangkan penggunaan bahan bakar untuk menjana elektrik. Penjimatan kos TNB ini memungkinkan kita menyemak kembali tarif elektrik. Pengurangan penggunaan bahan bakar pula membolehkan kita menyalurkan subsidi bahan bakar yang diperuntukkan untuk syarikat penjana kuasa bebas (IPP) bagi menjana tenaga elektrik kepada subsidi minyak untuk rakyat jelata.

3. Pembanterasan korupsi dan rasuah juga memastikan tiada lagi ketirisan berlaku. (Morgan Stanley menunjukkan RM330 bilion (USD90 bilion) telah lesap kerana amalan rasuah yang berleluasa.

Selain itu, DASC seringkali mengheret perbandingan yang tidak masuk akal apabila membandingkan Malaysia dengan Iran mahupun Venezuela yang harga minyak mereka amat-amat rendah tetapi inflasi mereka amat tinggi. Begitu juga perbandingan diantara Malaysia, Finland dan Norway yang pendapatan perkapita mereka 10 kali ganda berbanding pendapatan perkapita Malaysia. Mengapa perbandingan tidak di buat diantara Malaysia dengan negara yang setaraf dengannya?

Menyentuh proses pemulihan krisis ekonomi 1997, sekali lagi DASC menyerang DSAI dengan mengatakan jika DSAI menjadi PM Malaysia di masa itu, pasti negara ini akan bankrupt di tindas oleh polisi IMF. Cuba kita lihat dimanakah kedudukan negara-negara yang nazak setaraf dengan Malaysia semasa itu seperti Singapura, India, China dan Korea Selatan. Kini mereka lebih maju dan berdaya saing berbanding negara kita Malaysia yang seringkali di gambarkan sebagai amat stabil ekonominya.

Sebagai penutup, apakah perlu Malaysia tunduk kepada arus kenaikan minyak global dikala kita punya cara untuk tidak berbuat sedemikian? Kita harus berani untuk berbeza kerana kita mampu untuk berbeza. Tidak perlu untuk kita membelenggu fikiran rakyat dengan isu kenaikan minyak global yang menyebabkan subsidi di tarik sepertimana di gembar-gemburkan media massa. Saya yakin rakyat Malaysia pasti sudah cerdik untuk menilai kebenaran mahupun kebatilan. Semoga kebenaran akan tertegak suatu hari nanti. Wallahu ‘alam. Wassalam.

KHALID AL –WALID MUSTAFA KAMIL