APA DAH JADI DENGAN UMAT ISLAM HARI INI?

1 01 2009

Sebuah Sentuhan:

https://khalidalwalid.wordpress.com/

khalidalwalidmk@gmail.com

Salam Rahmah Dan Kasih Sayang Allah Khas Buat Para Du’at dan Pejuang Deenul Haq!

AKU KELIRU DAN TERTANYA-TANYA. Adakah umat ini tidak punya hati dan perasaan? Mengapa mereka amat-amat tidak sensitif? Adakah Allah telah tarik nikmat hati dan perasaan dari dalam jiwa mereka?

Mengapa aku berkata begini? Apa tidaknya, sebentar tadi aku sempat menonton berita edisi jam satu di saluran NTV7, terasa bagai umat ini seakan-akan sudah tidak punya hati dan perasaan. Tatkala saudara seIslam kita di Palestin di bantai, di belasah, di ganyang dan di bunuh habis-habisan, umat Islam di seluruh dunia berkumpul beramai-ramai di dataran-dataran menyambut tahun baru.

Ibu bapa seawal 6 petang membawa anak kecil ke dataran untuk menyambut tahun baru. Apabila di temuramah, dengan bangga mereka berkata, “Saya berasa amat seronok kerana dapat bersama-sama anak dan isteri menyambut tahun baru bersama-sama, menonton konsert, menyaksikan petunjukan bunga api dan melihat gelagat manusia”

Ada yang berkata “Saya berasa amat bangga kerana Malaysia amat aman dan harmoni. Tak da peperangan dan kekacauan. Tak macam di Thailand, Iraq dan Palestin.”

Yang ain ada berkata “Saya akan datang lagi tahun hadapan ke dataran merdeka untuk menyambut Tahun Baru dan Malam Merdeka.”

HAH! APA SEMUA INI!

Tatkala 14 buah rumah di Bukit Antarabangsa di timbus tanah runtuh, 4 orang terkorban dan beberapa orang tercedera, seluruh Malaysia kaget dan bersedih. Seluruh tumpuan di fokus ke kawasan bencana. Aku tidak kata ini salah, betul dan benar tindakan kita semasa itu. Hari Raya Korban di sambut sederhana untuk menghormati peristiwa tersebut, tetapi betul dan benarkah tindakan kita pada hari ini, Bukan 14 buah rumah yang di musnahkan, tetapi ratusan rumah dibedil bom Israel laknatullah. Sehingga kini (di saat aku menulis entri ini) lebih 400 jiwa sudah terkorban dan bukan 4 orang! Ribuan yang cedera parah dan tidak dapat dirawat dengan sempurna di sebabkan kekurangan bekalan perubatan.

Tetapi, kita sibuk meraikan ketibaan tahun baru. Suasana penuh kegembiraan dan kemeriahan dirasakan di dalam setiap jiwa yang meraikan. Aman dan seronok. Tiada ketakutan dan kesedihan. Tetapi apabila umat manusia di seluruh dunia tanpa kira bangsa dan agama berhimpun menunjukkan bantahan terhadap pembantaian Israel Laknatullah terhadap umat Palestin, mereka di tangkap dan pukul oleh pihak berkuasa. HAH SALAHKAH mereka? Apa semua ini?

Ayuh Umat Islam, cuba kita tanya pada diri kita, adakah sumbangan kita buat umat ini. Apakah kita sudah cukup mendidik jiwa dan diri kita untuk menghadapi sebarang ujian Allah? Adakah diri kita, keluarga kita mahupun masyarakat kita sudah cukup sensitif terhadap saudara-saudara seIslam kita di seluruh dunia? Rasulullah bersabda “ Tidak beriman seseorang kamu melainkan kamu mengasihi apa yang ada pada saudara kamu sepertimana kamu mengasihinya.” Ayuh marilah kita muhasabah di tahap manakah iman kita? Marilah kita sama mendoakan saudara-saudara kita di Palestin. Marilah kita melazimi QUNUT NAZILAH dan doa memohon munajat kepada ALLAH agar menhancurkan zionis Yahudi dan Israel laknatullah… pada masa ini dan saudara kita diserang hebat oleh mereka yang tidak perikemanusiaan..

قنوت النازلة – اللَّهُمَّ إِنَّا نَجْعَلُكَ ِفي نُحُورِ أَعْدَائِنَا وَنَعُوذُبِكَ مِنْ شُرُورِهِمْ اللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَشَدِّدْ كَلِمَتَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ يَا قَهَّارُ… يَا جَبَّارُ… يَا مُنْتَقِمُ! يَا اللهُ ) 3 مرّات ( اللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الكِتَاب…وَيَا مُجْرِيَ السَّحَاب…ويا هَازِمَ الأَحْزَاب… اِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا

عَلَيْهِمْ

Wallahu’alam.

Salam Dakwah dan Tarbiyah,

KHALID AL-WALID BIN MUSTAFA KAMIL





31 12 2008

Kenyataan Sekretariat HALUANPalestin

Sekretariat HALUANPalestin HALUAN Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam yang dilakukan oleh Israel membedil dan membunuh rakyat Palestin di Gaza. Serangan yang bermula semenjak Sabtu, 27 Disember telah mengorban banyak nyawa, kecederaan dan kerosakan harta benda. Tindakan Zionis Israel membedil Gaza dan melancarkan serangan yang membabi buta terhadap rakyat yang sedang memperjuangkan bumi dan kehormatan bangsa amat mendukacitakan dan di luar batas keperimanusiaan.

Sekretariat HALUANPalestin menyeru dengan segenap kekuatan menolak dan menentang tindakan keji dan kejam Israel, diskriminasi dan konspirasi yang dilakukan kepada penduduk Palestin, khususnya di Gaza.

Sekretariat HALUANPalestin menyeru:

  1. Kepada segenap umat dan bangsa Arab dan Islam … mulai saat ini, bersegeralah membantu dan mendukung perjuangan warga Palestin, berkorban demi kesucian negeri Palestin; untuk melawan kebiadaban Zionis dan tindakan pembantaian yang kejam terhadap  bangsa Palestin dengan jelas dan terang-terangan.
  2. Kepada Persatuan Parlimen Arab dan Islam… harus bertanggungjawab terhadap peristiwa yang terjadi dan berdiri dalam satu barisan bersama umat dan membatalkan hal-hal yang berkaitan dengan kesepakatan perdamaian bersama musuh zionis.
  3. Kepada pemerintah dan pemimpin Arab dan Islam.. hendaklah menunaikan tugas dan kewajibannya, seperti:
    • Berdiri tegak bersama umat dalam menolak perilaku zalim dan kejam zionis, dan memberikan bantuan untuk para penduduk di Palestin.
    • Memutus hubungan atau segala bentuk komunikasi langsung atau tidak langsung dengan zionis dan sekutunya.
    • Menerapkan semangat kesepakatan dalam negara Islam dan bersegera bersatu untuk mempertahankan bumi Palestin.
    • Memberikan bantuan segera kepada rakyat Palestin samada dari segi perubatan, kewangan, bekalan makanan, bantuan kemanusiaan dan ketenteraan dengan kadar segera.

Hendaknya Zionis teroris menyedari bahawa mereka tidak akan mampu membendung dan menghentikan semangat rakyat Palestin mempertahankan bumi mereka sedikitpun sebaliknya mereka akan mendapat kehinaan dan kehancuran.

Sekretariat HALUANPalestin

Anda boleh menyumbang kepada usaha Sekretariat HALUANPalestin untuk projek bantuan mangsa-mangsa kekejaman rejim Zionis di Palestin melalui

Nama Akaun: Tabung Palestin HALUAN
No Akaun: 14-023-01-003429-2
Bank: Bank Islam Malaysia Berhad





Filem Islami “Sang Murabbi “

9 09 2008

[Mencari Spirit Da’wah Yang Hilang]

khalidalwalidmk@gmail.com
https://khalidalwalid.wordpress.com/

Indonesia sering di kenali sebagai negara muslim terbesar di dunia dan oleh sebab itu, banyak sekali karya drama, filem mahupun realiti show yang berunsurkan Islam di mainkan di kaca-kaca tv. Malah terdapat sebuah stesyen tv yang berorientasikan Islam seperti Lativi. Karya drama dan filim Islami juga banyak ditayangkan untuk tontonan umum seperti “Pasentren Cinta”, “Kiamat Sudah Dekat” mahupun “Ayat-ayat Cinta”. Terdapat juga realiti show yang dikenali sebagai “Pidacil” atau “Pidato Ci Kecil” yang bagi saya amat sesuai bukan sahaja buat kanak-kanak malah untuk semua lapisan masyarakat. Program ini berjaya mencongkil bakat pendakwah masa hadapan kerana anak-anak peserta program ini di latih untuk berceramah dengan kretiviti jurulatih masing-masing. Lebih hebat dari Akademi Fantasia mahupun Akademi Nasyid saya kira.

Namun, karya-karya drama dan filem di atas kelihatan agak liberal dan longgar unsur Islaminya walaupun besar impaknya buat umum. “Ayat-ayat Cinta” sebagai contoh, nilai yang ditonjolkan nyata berbeza sekali dengan apa yang terdapat di dalam novel asal karangan novelis muda Habiburrahman. Nilai-nilai Islami hilang di rentap keinginan produksi ntuk menyesuaikan jalan cerita dengan budaya sekarang. Filem “Kiamat Sudah Dekat” bagi saya lebih terjaga nilai Islaminya. Begitu juga drama Pasentren Cinta yang mengarapkan elemen kesedaran Islam dan gambaran sebenar kehidupan masyarakat kota dan pasentren. Namun elemen cinta tetap di terapkan di dalam drama ini.

Tetapi, alhamdlillah, di tengah-tengah kebejatan arus hiburan hidomism, industri perfileman Indonesia menyaksikan lahirnya sebuah filem Islami yang di kira benar-benar menonjolkan sosok peribadi muslim tulen. Sebuah filem berorientasikan da’wah islamiyah. Filem ini mengikisahkan perjalanan dakwah Ustaz Rahmat Abdullah. Bermula dengan persepsi kukuh Ustaz Rahmat sejak di bangku sekolah dasar (rendah), setiap kali ditanya orang, apa cita-citanya, ia akan menjawab dengan mantap: menjadi guru!

Persepsi itu kemudian menjadi elemen yang vital yang menggerakkan seluruh energi hidup Ustaz Rahmat, ketika ia menimba ilmu di pesantren Asy Syafiiyah di bawah asuhan KH Abdullah Syafii. Bakat besar dan pemikirannya yang brilian, menjadikan Ustaz Rahmat dikagumi oleh setiap orang, terutama gurunya, KH Abdullah Syafii, yang menjadikan Ustad Rahmat muda sebagai murid kesayangannya.

Ustaz Rahmat muda mulai merintis kariernya sebagai guru sejurus lulus dari Asy Syafiiyah. Selain itu, dia juga mengajar di sekolah dasar Islam lainnya di kawasan Kuningan, Jakarta Selatan. Perjalanan karier yang dipilihnya itu kemudian mempertemukannya dengan guru keduanya, Ustaz Bakir Said Abduh yang mengelola Rumah Pendidikan Islam (RPI). Melalui ustaz lulusan pergururan tinggi di Mesir itu, Ustaz Rahmat banyak membaca buku-buku karya ulama Ikhwanul Muslimin, salah satunya adalah buku Da’watuna (Hasan Al-Bana) yang kemudian ia terjemahankan menjadi Dakwah Kami Kemarin dan Hari Ini (Pustaka Amanah).

Demikian sedikit sinopsis awal filem “Sang Murabbi: Mencari Spirit Da’wah Yang Hilang”. Filem ini adalah berdasarkan perjalan kehidupan asal Ketua Umum Partai Keadilan [PK] (yang kemudiannya menjadi Parti Keadilan Sejahtera [PKS]). Sejarah penghidupan yang digarap benar-benar menyentap hati setiap penonton.

Saya kira, alangkah indahnya jika bumi Malaysia ini dapat disuburkan dengan kepesatan industri hiburan Islami yang sudah pasti mendidik jiwa dan bukannya merosakkan jiwa seperti apa yang berlaku pada hari ini. Mungkin gerakan-gerakan Islam di Malaysia perlu mengambil langkah produktif dalam memdidik masyarakat secara meluas.

Wallahu a’alam. Wassalamu’alaikum.

KHALID AL-WALID BIN MUSTAFA KAMIL