Seruan untuk menjaga hak-hak Allah

19 07 2008

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

KHUTBAH JUMAAT

MASJID WILAYAH JALAN DUTA KUALA LUMPUR

“ MEMELIHARA HAK-HAK ALLAH “

( 18 Julai 2008 / 15 Rejab 1429H )



Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperoleh taufik dan hidayah di dunia dan di akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah: ”MEMELIHARA HAK-HAK ALLAH”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Di zaman Rasulullah SAW pelbagai ujian telah berlaku sama ada ke atas diri baginda, keluarga atau umat Islam ketika itu. Kesemua ujian itu dapat ditangani dengan baik. Berasaskan keadaan itu, Allah SWT mengajar baginda SAW metodologi untuk berhujah dengan kaum musyrik, munafik dan sebagainya. Salah satu kaedah yang dinyatakan dalam al-Quran ialah Mubahalah atau Mula’anah.

Mubahalah bererti pihak yang berbalah saling doa mendoakan untuk membersihkan diri antara mereka supaya diturunkan laknat ke atas salah seorang daripada mereka yang berbohong. Dalam sejarah Islam, Rasulullah SAW pernah menggunakan kaedah ini setelah diwahyukan oleh Allah SWT sebagaimana di dalam surah Ali Imran ayat 61:

Maksudnya: Maka sesiapa yang membantahmu mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan isteri-isteri kami serta isteri-isteri kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang yang berdusta.”.

Peristiwa ini berlaku pada tahun kesembilan hijrah di mana beberapa orang utusan Nasrani Najran di Selatan Semenanjung Arab berhampiran Yaman bertandang ke Madinah al-Munawwarah bertemu Rasulullah SAW untuk berhujjah tentang keyakinan batil mereka berkenaan Nabi Isa AS. Meskipun Rasulullah SAW telah memberi penjelasan lengkap mengenai kenabian Nabi Isa AS tetapi puak Najran itu tidak menerima. Lalu Allah SWT meminta Rasulullah SAW supaya mencabar pula mereka dengan bermubahalah. Bagaimanapun puak Najran ini menolak untuk bermubahalah kerana bimbang pembohongan mereka diketahui.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Persoalan besar timbul ialah apakah mubahalah boleh diamalkan dalam membuktikan kes-kes jenayah tanpa melalui proses perundangan?. Kes-kes jenayah Islam seperti pembunuhan, zina, liwat, qazaf, pemberontakan dan sebagainya adalah dikategorikan sebagai hak Allah SWT. Dalam pelaksanaan hukuman bersabit hak-hak Allah ini, sumpah dan mubahalah bukanlah kaedah yang digunakan untuk mensabitkan pesalah. Sumpah digunakan dalam kes-kes bukan jenayah (kes mal) sahaja.

Oleh sebab itu dalam kes jenayah, Islam menentukan prinsip undang-undang tertentu dalam menegakkan keadilan. Tidak ada jalan mudah dan singkat untuk menuduh dan membabitkan seseorang bersalah. Keadilan boleh ditegakkan melalui proses undang-undang. Disebabkan ketinggian sifat kasih Allah kepada manusia inilah, maka kedudukan kita sentiasa dipelihara dengan berbagai-bagai peraturan dan undang-undang supaya umat manusia tidak terus hanyut ditimpa dosa bahkan mendapat ganjaran berlipat kali ganda.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqara ayat 30:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya: Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa mensucikan-Mu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya..”

Inilah kemuliaan yang sangat besar diberikan Allah kepada manusia agar kita dapat memakmurkan bumi ini tanpa sebarang persengketaan atau pertumpahan darah. Namun begitu masih terdapat segelintir manusia yang gagal mematuhi peraturan tersebut. Maka kerana itu undang-undang Allah sangat berkesan mencegah kerosakan didunia ini. Apa pun tanggungjawab setiap umat Islam hendaklah sentiasa memelihara hak-hak Allah dengan terlebih dahulu menjaga akan hak-hak manusia. Antara hak-hak manusia itu adalah menjaga hak beragama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda daripada dirosakan atau menjadi perosak kepada orang lain.Dengan demikian demi untuk menjaga kemakmuran, keharmonian dan keselamatan, maka kita perlu mematuhi dan menghormati undang-undang.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah, mimbar ingin menasihatkan umat Islam bahawa dalam menyelesaikan kes-kes jenayah Islam atau hak-hak Allah SWT hendaklah kita kembali menghormati dan mematuhi prinsip undang-undang mengikut bidangkuasa mahkamah yang telah ditetapkan. Kita perlu ingat jangan mempermain-main dan mempersendakan hukum Allah bagi mengelakkan kemurkaan Allah SWT.

Marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dan memohon kepada-Nya supaya dipelihara pemimpin dan rakyat jelata dari segala mara bahaya yang membinasakan iman dan akhlak mulia. Semoga keamanan, perpaduan dan kesejahteraan masyarakat dalam negara kita terus berkekalan. Waspadalah kita dengan ancaman Allah SWT disebabkan kealpaan kita mematuhi segala perintah-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah ar-Ra’d ayat 6:

Maksudnya:Dan mereka meminta kepadamu disegerakan kedatangan azab sebelum mereka memohon kebaikan; padahal sesungguhnya telah berlaku contoh-contoh azab sebelum mereka. Dan sesungguhnya Tuhanmu Amat melimpah keampunan-Nya bagi manusia terhadap kezaliman mereka, dan sesungguhnya Tuhanmu juga Amatlah keras balasan azab-Nya.”


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: