Seruan untuk menjaga hak-hak Allah

19 07 2008

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

KHUTBAH JUMAAT

MASJID WILAYAH JALAN DUTA KUALA LUMPUR

“ MEMELIHARA HAK-HAK ALLAH “

( 18 Julai 2008 / 15 Rejab 1429H )



Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperoleh taufik dan hidayah di dunia dan di akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah: ”MEMELIHARA HAK-HAK ALLAH”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Di zaman Rasulullah SAW pelbagai ujian telah berlaku sama ada ke atas diri baginda, keluarga atau umat Islam ketika itu. Kesemua ujian itu dapat ditangani dengan baik. Berasaskan keadaan itu, Allah SWT mengajar baginda SAW metodologi untuk berhujah dengan kaum musyrik, munafik dan sebagainya. Salah satu kaedah yang dinyatakan dalam al-Quran ialah Mubahalah atau Mula’anah.

Mubahalah bererti pihak yang berbalah saling doa mendoakan untuk membersihkan diri antara mereka supaya diturunkan laknat ke atas salah seorang daripada mereka yang berbohong. Dalam sejarah Islam, Rasulullah SAW pernah menggunakan kaedah ini setelah diwahyukan oleh Allah SWT sebagaimana di dalam surah Ali Imran ayat 61:

Maksudnya: Maka sesiapa yang membantahmu mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan isteri-isteri kami serta isteri-isteri kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang yang berdusta.”.

Peristiwa ini berlaku pada tahun kesembilan hijrah di mana beberapa orang utusan Nasrani Najran di Selatan Semenanjung Arab berhampiran Yaman bertandang ke Madinah al-Munawwarah bertemu Rasulullah SAW untuk berhujjah tentang keyakinan batil mereka berkenaan Nabi Isa AS. Meskipun Rasulullah SAW telah memberi penjelasan lengkap mengenai kenabian Nabi Isa AS tetapi puak Najran itu tidak menerima. Lalu Allah SWT meminta Rasulullah SAW supaya mencabar pula mereka dengan bermubahalah. Bagaimanapun puak Najran ini menolak untuk bermubahalah kerana bimbang pembohongan mereka diketahui.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Persoalan besar timbul ialah apakah mubahalah boleh diamalkan dalam membuktikan kes-kes jenayah tanpa melalui proses perundangan?. Kes-kes jenayah Islam seperti pembunuhan, zina, liwat, qazaf, pemberontakan dan sebagainya adalah dikategorikan sebagai hak Allah SWT. Dalam pelaksanaan hukuman bersabit hak-hak Allah ini, sumpah dan mubahalah bukanlah kaedah yang digunakan untuk mensabitkan pesalah. Sumpah digunakan dalam kes-kes bukan jenayah (kes mal) sahaja.

Oleh sebab itu dalam kes jenayah, Islam menentukan prinsip undang-undang tertentu dalam menegakkan keadilan. Tidak ada jalan mudah dan singkat untuk menuduh dan membabitkan seseorang bersalah. Keadilan boleh ditegakkan melalui proses undang-undang. Disebabkan ketinggian sifat kasih Allah kepada manusia inilah, maka kedudukan kita sentiasa dipelihara dengan berbagai-bagai peraturan dan undang-undang supaya umat manusia tidak terus hanyut ditimpa dosa bahkan mendapat ganjaran berlipat kali ganda.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqara ayat 30:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya: Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa mensucikan-Mu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya..”

Inilah kemuliaan yang sangat besar diberikan Allah kepada manusia agar kita dapat memakmurkan bumi ini tanpa sebarang persengketaan atau pertumpahan darah. Namun begitu masih terdapat segelintir manusia yang gagal mematuhi peraturan tersebut. Maka kerana itu undang-undang Allah sangat berkesan mencegah kerosakan didunia ini. Apa pun tanggungjawab setiap umat Islam hendaklah sentiasa memelihara hak-hak Allah dengan terlebih dahulu menjaga akan hak-hak manusia. Antara hak-hak manusia itu adalah menjaga hak beragama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda daripada dirosakan atau menjadi perosak kepada orang lain.Dengan demikian demi untuk menjaga kemakmuran, keharmonian dan keselamatan, maka kita perlu mematuhi dan menghormati undang-undang.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah, mimbar ingin menasihatkan umat Islam bahawa dalam menyelesaikan kes-kes jenayah Islam atau hak-hak Allah SWT hendaklah kita kembali menghormati dan mematuhi prinsip undang-undang mengikut bidangkuasa mahkamah yang telah ditetapkan. Kita perlu ingat jangan mempermain-main dan mempersendakan hukum Allah bagi mengelakkan kemurkaan Allah SWT.

Marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dan memohon kepada-Nya supaya dipelihara pemimpin dan rakyat jelata dari segala mara bahaya yang membinasakan iman dan akhlak mulia. Semoga keamanan, perpaduan dan kesejahteraan masyarakat dalam negara kita terus berkekalan. Waspadalah kita dengan ancaman Allah SWT disebabkan kealpaan kita mematuhi segala perintah-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah ar-Ra’d ayat 6:

Maksudnya:Dan mereka meminta kepadamu disegerakan kedatangan azab sebelum mereka memohon kebaikan; padahal sesungguhnya telah berlaku contoh-contoh azab sebelum mereka. Dan sesungguhnya Tuhanmu Amat melimpah keampunan-Nya bagi manusia terhadap kezaliman mereka, dan sesungguhnya Tuhanmu juga Amatlah keras balasan azab-Nya.”





Antara Anwar dan Shabery.

16 07 2008

www.khalidalwalid.wordpress.com

khalidalwalidmk@gmail.com

Salam Rahmah dan Kasih Sayang Allah buat semua.

Alhamdulillah.  Sebuah anjakan yang amat positif untuk politik Malaysia ke arah Malaysia Baru. Ke arah Malaysia yang lebih demokrasi dan terbuka. Hari ini mencatatkan sejarah baru buat dunia politik Malaysia apabila dua tokoh politik yang berlatarbelakangkan dua ideologi politik yang berbeza dapat berdebat di atas satu pentas yang sama untuk membahaskan isu yang menghantui rakyat terbanyak iaitu isu kenaikan harga minyak di Malaysia.

Di atas kapasiti sebagai seorang anak muda Malaysia yang inginkan masa hadapan yang lebih terjamin, sekalung tahniah saya ucapakan buat Agenda Daily kerana berjaya menganjurkan debat yang amat bersejarah ini. Buat Datuk Johan Jaafar syabas saya ucapkan kerana anda berjaya bertindak sebagai seorang moderator yang saksama.

Buat Datuk Ahmad Shabery Cheek (DASC), anda telah membuktikan bahawa anda adalah seorang pemimpin muda yang berani. (berbanding pemimpin-pemimpin UMNO yang selama ini hanya lantang bersuara dari belakang)

Buat Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI), tahniah kerana anda telah membuka mata rakyat terbanyak bahawa kita boleh menguruskan negara dengan lebih baik jika korupsi dan ketirisan dapat di bendung.

Tidak lupa ucapan tahniah kepada Dewan Bahasa dan Pustaka kerana sudi menyediakan ruang untuk perdebatan yang tajuknya “Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak.”. Juga TV9, TV3, Astro Awani dan BERNAMA TV kerana bersetuju menyiarkan debat ini secara lansung mahupun secara siaran tertunda. Saya yakin rencang debat ini telah mendapat rating penonton tertinggi.

Mengulas debat ini, secara professional, keberanian DASC sememangnya wajar di puji kerana berani berdepan dengan seorang pemidato yang disegani kawan dan lawan. Walaubagaimanapun, saya amat terkilan di atas tindakan DASC untuk membuat serangan peribadi keatas DSAI. Jelas konsep perdebatan yang dipersetujui tidak dirialisasikan. Apa kaitan antara maudu’ debat kali ini dengan golombang mahasiswa 1974? Isi debat DASC hanya kekadar berteraskan sejarah yang sudah lapok dan basi. Malah, DASC tidak menjawab persoalan yang di utarakan dengan baik. Sering kali terkeluar dari topik perbincangan. Tidak berteraskan kepada fakta atau angka, tetapi lebih bersifat untuk memalukan DSAI.

Solusi penurunan harga minyak yang di kemukakan oleh DSAI pula boleh saya sifatkan rialistik dan praktikal. DSAI jelas menunjulkan fakta dan angka untuk membahaskan kewujudan peluang bagi kerajaan Malaysia untuk tidak mengikut arus kenaikan minyak global. DSAI kelihatan tenang walaupun beliau di serang secara peribadi.

Mekanisme yang beliau tawarkan ternyata bukanlah satu perkara yang mustahil (dipetik dari www.anwaribrahimblog.com berdasarkan hujahan DSAI semasa debat):

1. Untuk menurunkan harga petrol sebanyak 50 sen kita hanya memerlukan tambahan RM5 bilion sahaja keatas subsidi yang telahpun diperuntukkan oleh kerajaan bagi tahun ini.

2. Kita mempunyai maklumat bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai “excess capacity” yang melebihi 1000 MW. Ini adalah bekalan simpanan yang tidak digunakan. Ia boleh kita turunkan dan akan menjimatkan kos kepada TNB dan juga mengurangkan penggunaan bahan bakar untuk menjana elektrik. Penjimatan kos TNB ini memungkinkan kita menyemak kembali tarif elektrik. Pengurangan penggunaan bahan bakar pula membolehkan kita menyalurkan subsidi bahan bakar yang diperuntukkan untuk syarikat penjana kuasa bebas (IPP) bagi menjana tenaga elektrik kepada subsidi minyak untuk rakyat jelata.

3. Pembanterasan korupsi dan rasuah juga memastikan tiada lagi ketirisan berlaku. (Morgan Stanley menunjukkan RM330 bilion (USD90 bilion) telah lesap kerana amalan rasuah yang berleluasa.

Selain itu, DASC seringkali mengheret perbandingan yang tidak masuk akal apabila membandingkan Malaysia dengan Iran mahupun Venezuela yang harga minyak mereka amat-amat rendah tetapi inflasi mereka amat tinggi. Begitu juga perbandingan diantara Malaysia, Finland dan Norway yang pendapatan perkapita mereka 10 kali ganda berbanding pendapatan perkapita Malaysia. Mengapa perbandingan tidak di buat diantara Malaysia dengan negara yang setaraf dengannya?

Menyentuh proses pemulihan krisis ekonomi 1997, sekali lagi DASC menyerang DSAI dengan mengatakan jika DSAI menjadi PM Malaysia di masa itu, pasti negara ini akan bankrupt di tindas oleh polisi IMF. Cuba kita lihat dimanakah kedudukan negara-negara yang nazak setaraf dengan Malaysia semasa itu seperti Singapura, India, China dan Korea Selatan. Kini mereka lebih maju dan berdaya saing berbanding negara kita Malaysia yang seringkali di gambarkan sebagai amat stabil ekonominya.

Sebagai penutup, apakah perlu Malaysia tunduk kepada arus kenaikan minyak global dikala kita punya cara untuk tidak berbuat sedemikian? Kita harus berani untuk berbeza kerana kita mampu untuk berbeza. Tidak perlu untuk kita membelenggu fikiran rakyat dengan isu kenaikan minyak global yang menyebabkan subsidi di tarik sepertimana di gembar-gemburkan media massa. Saya yakin rakyat Malaysia pasti sudah cerdik untuk menilai kebenaran mahupun kebatilan. Semoga kebenaran akan tertegak suatu hari nanti. Wallahu ‘alam. Wassalam.

KHALID AL –WALID MUSTAFA KAMIL





Salam Perkenalan Siber

13 07 2008

Salam Rahmah dan kasih sayang Allah buat kalian.

Pertama sekali, saya merasakan amat-amat bertuah kerana Allah masih membenarkan saya untuk memulakan ‘sebuah langkah mula kearah pembentukan diri yang lebih kuat di masa hadapan’. Selawat dan salam buat rasul junjungan mulia, sahabat-sahabat “solafussoleh” serta para mujahid yang telah berjuang habis-habisan demi menyebarkan “wa’yul islami” ke seluruh muka bumi Allah ni. Semoga Allah golongkan saya bersama kalian. Ameen.

Ini merupakan usaha formal saya untuk berkongsi minda dan fikrah saya bersama sekalian tetamu. Sudah menjadi impian saya untuk melihat sinar Islam kembali menerangi alam ini. Sudah pasti usaha-usaha “da’wah wa attarbiyah” merupakan tunjang utama kepada kebangkitan Islam.  Semoga web-blog ini menjadi wasilah penyebaran kefahaman Islam supaya sekalian tetamu dapat merasakan Islam sebagai “Rahmatan lil ‘alamin” dan bukan hanya hak eksklusif orang arab, melayu, bugis, jawa mahupun cina. Ya Allah, Kau pandulah aku di sepanjang perjalanan ini. Kau tabahkanlah hatiku. Kau kuatkanlah tubuh badanku. Kau tajamkanlah fikiranku. Ya Allah, Kau redhailah amalan ku ni. Kau hapuskankan dosa-dosaku. Ameen Ya Rabb al-‘alamin.

Saya amat-amat mengharapkan pandangan dari kalian tetamu untuk memperbaiki web-blog ini dari masa ke semasa. Segala pandangan, nasihat dan sarana kalian saya dahului dengan ucapan Jazakumullahu Khairan Kathira. Wassalam. Salam “da’wah wa attarbiyah” buat semua.

KHALID AL-WALID MUSTAFA KAMIL